Sabtu, Ogos 07, 2010

Teks Ucapan Kem Komandan Tanaki Tambunan


Tarikh: 6 Ogos 2010
Masa: 8.00 Malam

Yang Berusaha, Sdr. Mohd Jasni Yakub
Pengerusi Penganjur Malam Penghayatan Kemerdekaan
Merangkap Ketua Fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB)
Kem Tanaki Tambunan

Yang Berusaha,
Para Fasilitator PPSB P3/2010,

Ketua-ketua Jurulatih, Jurulatih-jurulatih
PLKN Kem Tanaki Tambunan

Operator Kem
PLKN Kem Tanaki Tambunan

Para Hadirin

Wira dan Wirawati yang dikasihi sekalian.


Assalamualaikum wa rahmatullah hi wa barakatuh dan salam sejahtera

Pertama sekali saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kerana mengundang saya hadir di Majlis Malam Penghayatan Kemerdekaan bersempena Program Penghayatan Sastera dan Budaya malam ini.

Tuan-tuan, Puan-puan dan wira-wirawati yang dikasihi.

Pada 31 Ogos 2010 ini genaplah usia kemerdekaan Negara kita yang ke-53 tahun. Sepanjang tempoh ini sudah pasti kita sering mengingat peristiwa-peristiwa manis dan pahit para pejuang yang telah memberikan sumbangan baik dalam bentuk kekuatan secara fizikal dan mental sehingga Negara kita mencapai kemerdekaan. Memang benar kita harus berusaha untuk melangkah lebih jauh ke hadapan namun melihat ke belakang juga akan memberikan ingatan dan perangsang agar kita mampu berusaha lebih gigih menerusi pelbagai program yang dilaksanakan Kerajaan. Sebagai generasi muda, wira dan wirawati yang berada di dalam dewan ini harus mempersiapkan diri meletakkan maruah agama, bangsa dan Negara paling utama dalam kehidupan. Sekiranya anda lemah, tidak mampu membentuk sebuah jati diri yang kental, ampuh dan kukuh ketika menghadapi pelbagai cabaran dunia masa kini, makna kemerdekaan yang telah dikecapi oleh datuk, nenek, ibu dan ayah anda tidak memberikan sebarang makna. Anda semua ibarat akar-akar yang menjalar dan rimba yang mengukuhkan bumi sedangkan bumi itu merupakan adaptasi kepada keutuhanan sebuah Negara yang amat kita cintai.

Tuan-tuan, Puan-puan dan wira-wirawati yang dikasihi.

Kemerdekaan sering kita sebut terutama sekali apabila menjelangnya bulan kemerdekaan yang disambut setiap tahun, memang begitu sinonim dengan kehidupan harian kita. Kemerdekaan yang kita fahami sebagai satu dokrin kebebasan daripada segala bentuk penjajahan. Kemerdekaan yang kerap dinyatakan para pemimpin, guru-guru dan ibu bapa kita sebagai kemenangan daripada kesusahan malah ia dianggap sebagai hijrah atau perpindahan kehidupan yang payah kepada kehidupaan yang selesa. Sesungguhnya kita begitu selesa apabila negara kita ditadbir oleh anak bangsa kita sendiri. Namun, kemerdekaan hanya berada dalam ingatan segelintir masyarakat ketika Ogos menjelma sedangkan pada masa-masa biasa mereka lupa terhadap sejarah, mereka alpa untuk meletakkan kemenangan para pejuang sebagai pemangkin untuk memelihara erti kemerdekaan. Mereka lebih suka memilih kemelut daripada bermusyawarah hingga menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan masyrakat pelbagai kaum yang cintakan keharmonian serta kedamaian.

Tuan-tuan, puan-puan serta semua wira dan wirati.

Sebagai generasi masa kini, anda semua harus lebih bertanggungjawab untuk menilai kembali penghayatan kemerdekaan ini. Cuba hayati semula pengorbanan yang ditunjukkan oleh pejuang seperti Leftenan Adnan, misalnya, yang sanggup berkorban menentang pejajah. Apakah di hati sanubari belia dan beliawanis hari ini mempunyai semangat juang yang kental untuk berhadapan dengan pelbagai serangan zaman moden ini? Jika kita perhatikan saban hari kita dikhabarkan pelbagai masalah sosial seperti pembuangan bayi, pelajar hamil, penagihan dadah, ponteng sekolah dan sebagainya. Keadaan ini ditambah lagi oleh kesan ledakan ICT yang mempunyai pengaruh luar biasa di kalangan masyarakat moden. Apakah perjuangan yang wajar digembelengkan oleh generasi hari ini? Memang diakui bahawa pelbagai pendekatan telah dilakukan oleh kerajaan agar masalah-masalah sosial dapat dibendung namun tanpa penglibatan ahli masyarakat itu sendiri termasuklah golongan belia seperti anda semua di sini, hasil yang diharapkan sudah pasti tidak sehebat mana. Kerana itu juga, semua kaum yang terdapat di negara kita ini harus sama-sama berganding bahu ke arah itu. Tanpa perpaduan, negara akan terdedah pelbagai ancaman dan kelemahan. Ancaman dan kelemahan ini boleh mengakibatkan kedaulatan negara terjejas dan berlaku huru-hara, rusuhan, pergaduhan kaum sebagainya.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama berdoa agar negara kita yang tercinta ini terus diberikan rahmat, aman damai dan kemerdekaan yang berterusan. Agar dijauhkan juga ancaman manusia yang khianat dan ancaman alam yang menyebabkan kita menghadapi masalah.

Tuan-tuan, puan-puan serta semua wira dan wirati.

Bagi pihak Komandan Kem Tanaki, Tambunan, saya ingin merakamkan ucapan tahniah atas kegigihan para pemudahcara atau fasilitator PPSB memberikan sedikit banyak ilmu mengenai sastera dan budaya kepada para pelatih PLKN di sini. PPSB tetap berjalan dengan lancar walaupun dengan jumlah pelatih yang kecil. Ini jelas kepada kami warga Kem Tanaki, menerusi Malam Penghayatan Kemerdekaan yang akan kita sama-sama saksikan. Memang bukan mudah menyuntik kesediaan para wira dan wirawati untuk mempelajari sesuatu perkara yang baru bagi mereka. Namun alhamdulillah berkat kerja keras para fasilitator PPSB segala kesulitan itu telah mampu diatasi. Mudah-mudahan para wira dan wirawati kita di kem ini telah menghayati erti kemerdekaan menerusi aktiviti PPSB ini seterusnya dalam kehidupan harian mereka.

Tuan-tuan, puan-puan serta semua wira dan wirati.

Dengan lafaz ‘Bismillahirrahmannirrahim’, saya dengan penuh takzim merasmikan program penutupan program penghayatan sastera dan budaya ini dengan rasminya.

Sekian, Terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan