Isnin, Januari 03, 2011

PLKN perkenal modul baru

Oleh Norakmah Mat Youb

PKRS bentuk remaja berakhlak, mampu hadapi cabaran
KUALA LUMPUR: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) memperkenalkan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mulai Mei ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata PKRS bukan modul pendidikan seks, sebaliknya mendedahkan pelatih permasalahan masyarakat, terutama remaja yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

Katanya, modul PKRS dirangka dengan mengambil kira keperluan dan sensitiviti pelbagai kaum berdasarkan konsep 1Malaysia.

“Bagi memastikan modul itu tidak menyinggung mana-mana pihak, JLKN akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya setelah melepaskan 1,200 pelatih pada majlis Pelancaran Pergerakan Pelatih PLKN kumpulan satu siri 8/2011 di Padang Bangunan Zetro, di sini semalam.

Seramai 140,000 pelatih mengikuti PLKN tahun ini dengan 40,308 terpilih dalam kumpulan satu yang mengikuti latihan tiga bulan membabitkan 79 kem di seluruh negara, mulai semalam.

Ahmad Zahid berkata, JLKN diberi tempoh sehingga April ini untuk merangka modul dan menyediakan latihan kepada jurulatih.

“JLKN perlu mengkaji pelaksanaannya supaya tidak bertindih dengan kandungan modul sedia ada. Beberapa modul termasuk Modul Integrasi dan Modul Penyalahgunaan Dadah akan dikaji semula untuk disesuaikan dengan PKRS,” katanya.

Beliau berharap modul baru itu menjadi pemangkin PLKN membentuk remaja sihat, berakhlak dan berupaya menghadapi cabaran.

Sumber: Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Komen