Laporan dan Foto: Sukor Haji Usin
Banyak yang ditinggalkan selain kenangan. Wira dan wirawati pewaris pejuang bangsa dan negara, penegak semangat waja mempertahankan kemerdekaan dan kemakmuran warganegaranya. Sastera dan budaya sentiasa terus terpelihara. PPSB menjadi landasan dan gelanggangnya.
Namun apakah ini benar-benar difahami oleh semua orang? Apakah wira dan wirawati menerima dapatan yang bererti daripada program 3 hari suntuk ini? Apakah 'sastera' dan 'budaya' yang menjadikan puisi sebagai teras aktiviti berjaya diterjemahkan dengan lebih jelas kepada para pelatih sepertimana yang diharapkan oleh pihak penganjur?
Semua persoalan ini boleh dijawab, mungkin tidak terlalu mudah tetapi tidak juga begitu payah, apabila wujudnya komitmen banyak pihak termasuklah pihak Komandan Kem. Alhamdulillah, Kem Tanaki Tambunan mempunyai Komandan yang begitu prihatin dan mengambil perhatian yang amat serius terhadap PPSB. Beliau bukan sahaja menerima dan menjadikan PPSB sebagai anak angkat kem bahkan inginkan sesuatu yang lebih bererti lagi buat para pelatih. Harapan beliau menjadi cabaran kepada para fasilitator di masa akan datang. Meskipun PPSB yang puncaknya dilangsungkan Malam Citra Puisi (MCP) dianggap berjaya namun, kejayaan ini tidak bererti PPSB juga bertitik di situ buat para pelatih siri berkaitan. Siri lain akan menyusul, maka seharus, fasilitator PPSB meningkatlah wacananya agar ia tidak sekadar menghasilkan sebuah persembahan tetapi kosong di minda anak-anak muda yang mengisi program khidmat negara apabila PPSB mengambil tempatnya. Masa yang pendek mungkin satu alasan yang munsabah tetapi ia tidak seharusnya menjadi penghalang kepada para petugas yang digalaskan tanggungjawab memberikan ilmu yang lebih banyak lagi.
PPSB mempunya agenda yang penting, ia berada di kem-kem PLKN bersama misi istimewa. Kerana itu juga, PPSB mempunyai maruah yang tersendiri. Agar ia tidak dilihat sebagai adhoc atau aktiviti muatan semata-mata, semua pihak perlu memiliki pandangan yang positif terhadapnya. Program ini lahir daripada ilham YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak pada tahun 2005, sepatutnya ia berkembang lebih meluas. Jika di awal program ini, masa 6 hari diperuntukkan bersama para wira dan wirawati tetapi kini harinya semakin sedikit dan padat. Para fasiliator harus bekerja keras dan dengan kerja keras itu juga mereka amat memerlukan komitmen para wira dan wirati yang harus bekerja keras bersama-sama bagi menjayakan program ini.
Setakat ini, PPSB yang berlangsung di Kem Tanaki Tambunan dilaksanakan dengan kejayaan yang sedikit berbeza berbanding kem-kem lain di Sabah. Saya tidak akan menulis apakan bentuk perbezaan itu. Untuk itu, saya bagi pihak semua fasilitator kem ini, mengajak sesiapa juga yang ingin melihat sendiri MCP dilaksanakan sebagai puncak PPSB, hadir di majlis penutupannya di masa akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan