Sabtu, Jun 12, 2010

Teks Ucapan Kem Komandan Tanaki Tambunan

Pertama sekali saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kerana mengundang saya hadir di Majlis Malam Citra Puisi bersempena Program Penghayatan Sastera dan Budaya malam ini.

Seperti mana yang kita sedia Malam Citra Puisi merupakan kesinambungan atau tradisi PPSB yang dianjurkan bersama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Jabatan Latihan Khidmat Negara. Syukur alhamdulillah kerana program ini telah berjaya dilaksanakan.

Tuan-tuan dan tuan-puan yang dihormati sekalian.

Saya yakin usaha yang dilakukan DBP sama ada di Kuala Lumpur dan juga DBP cawangan Negeri Sabah telah meninggalkan kesan yang positif terhadap sedar sastera dan budaya di kalangan peserta PLKN. Apa yang kita perhatikan juga, agensi ini telah berjaya membawa masuk para jurulatih yang mempunyai pengetahuan untuk memberi tunjuk ajar berkaitan dengan elemen-elemen sastera dan budaya yang diterapkan di dalam program. Malah menerusi pengalaman masing-masing mereka telah memberikan nilai tambah yang tersendiri bagi membina kekuatan jiwa dan minda dalam diri generasi muda di samping mengukuhkan jati diri bangsa.

Saya percaya para pelatih PLKN kem ini, telah menggunakan peluang yang ada ini dengan sebaiknya. Saya juga difahamkan para pelatih ini telah melalui bimbingan secara intensif mengenai sastera dan budaya bahkan turut mendekati elemen-elemen seni yang lain seperti gerak kreatif, teater dan deklamasi puisi. Namun yang lebih penting ialah, mereka mengalami sesuatu yang berbeza dengan pengalaman-pengalaman lain, sebagai melengkapkan pengisian mereka sepanjang berada dalam kem ini. Walaupun tempoh berlatih relatif singkat, saya juga melihat komitmen yang positif di kalangan para pelatih. Ini menggambarkan minat yang mendalam para pelatih ini terhadap program sastera dan budaya sebagai sebahagian teras pembangunan sahsiah Negara bangsa kita. Kita wajar menghargai mereka sebagai sebahagian generasi yang kita harapkan untuk meneruskan perjuangan nenek moyang kita, dalam usaha mempertahankan seni budaya bangsa kita. Keadaan ini juga menjadi tanda aras betapa perlunya kerjasama di kalangan kita semua, para wira dan wirawati dalam apa keadaan sekali pun. Sekaligus menepati dengan konsep Negara masa ini iaitu konsep gagasan 1 Malaysia.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Gagasan 1 Malaysia telah menetapkan elemen-elemen teras agar menjelmakan jatidiri di kalangan rakyat jelata. Antara elemen yang dimaksudkan ialah penerimaan yang menitikberatkan unsur-unsur perpaduan dan integrasi. Unsur-unsur ini amat penting supaya tenaga Negara dapat disalurkan kepada usaha untuk memajukan Negara. Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.

Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Tuan-tuan, puan-puan yang dihormati sekalian,

Kita pernah mendengar ungkapan ’bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’. Peribahasa ini sering diperdengarkan kepada anak-anak Malaysia sejak di bangku sekolah lagi. Semangat perpaduan dan permuafakatan ditanam dalam diri setiap individu agar ia sebati dengan jati diri rakyat Malaysia.

Dalam konteks perpaduan Negara, ini merupakan matlamat penting dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan. Oleh itu, keseimbangan ekonomi, sosial dan politik perlu berjalan seiring dengan agenda matlamat Negara bagi memastikan keharmonian hidup rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

Tanpa perpaduan, Negara akan terdedah kepada pelbagai ancaman yang boleh mengakibatkan kedaulatan negara terjejas sehingga berlaku huru-hara, rusuhan, pergaduhan kaum dan sebagainya. Jestru, perpaduan sentiasa dititikberatkan dalam penyusunan strategi pembangunan dan pentadbiran Negara supaya kedaulatan Negara mampu dikekalkan dan dipertahankan sebagai sebuah Negara yang merdeka.

Tuan-tuan, puan-puan dan semua wira-wirawati sekalian,

Elemen-elemen yang disebutkan di atas begitu terserlah dalam program-program yang dijalankan di kem Latihan Khidmat Negara di negara kita termasuklah dalam PPSB. Sehubungan dengan itu saya suka mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua jurulatih yang mengendalikan program ini. Keupayaan mereka sewajarnya kita hargai malah menyokong agar program ini terus dilaksanakan pada peringkat yang akan datang. Saya juga berharap semoga penghayatan atau apresiasi yang dicambahkan oleh para guru yang bertauliah dalam program ini menjadi teras kepada pembangunan tamadun kita khususnya bagi generasi kita seterusnya.

Tuan-tuan, puan-puan serta semua wira dan wirati,

Dengan lafaz ‘Bismillahirrahmannirrahim’, saya dengan penuh takzim merasmikan program penutupan penghayatan sastera dan budaya ini dengan rasminya. Sekian, Terima kasih.

Wassalamualaikumwarahmatullahi wabarakatuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan